Penyakit buah pinggang mungkin pada peringkat awalnya tidak menunjukkan sebarang tanda dan simptom. Kemungkinan petanda awal yang dapat dikesan oleh doktor ialah melalui ujian darah dan urin yang dilakukan secara kerap. Dan untuk mengesan penyakit buah pinggang, doktor mungkin akan melakukan ujian-ujian perubatan di bawah dan prosuder diagnostik.

Melakukan Pemeriksaan Tekanan Darah

Seperti juga penyakit buah pinggang, tekanan darah tinggi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pada peringkat awalnya. Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan berlakunya kerosakan pada buah pinggang anda. Selain itu, ianya juga boleh menjadi petanda bahawa buah pinggang anda sudah terganggu. Menjalani ujian tekanan darah adalah satu-satunya jalan untuk mengetahui apakah tekanan darah anda tinggi atau berada pada tahap yang normal.

Keputusan daripada ujian tersebut akan dinyatakan dengan dua jenis bacaan. Contohnya 120/80. Bacaan di atas merupakan tekanan ketika jantung sedang berdenyut. Keadaan ini dinamakan tekanan sistolik. Bacaan yang di bawah, yang dipanggil sebagai tekanan diastolik, merupakan bacaan ketika jantung berehat diantara denyut. Tekanan darah dianggap normal apabila bacaannya tetap berada pada bacaan 120/80. Dicadangkan kepada mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang berusaha untuk memastikan agar bacaan tekanan darah mereka sentiasa di bawah 130/80.

Ujian Untuk Mikroalbuminuria & Protinuria

Istilah mikroalbuminuria menunjukkan satu keadaan di mana sejumlah kecil albumin telah bocor ke dalam urin. Ini menunjukkan bahawa fungsi buah pinggang telah pun terganggu secara perlahan-lahan. Biasanya buah pinggang yang sihat akan mengeluarkan bahan-bahan yang tidak diperlukan tubuh dan meninggalkan protin. Namun buah pinggang yang telah terganggu fungsinya tidak dapat memisahkan kandungan protin di dalam darah yang dipanggil albumin daripada bahan-bahan yang tidak diperlukan. Doktor mungkin akan melakukan ujian pada urin dengan menggunakan satu batang kecil di dalam sedikit sampel urin.

Ujian lain yang lebih sensitif untuk protin atau albumin termasuklah ujian makmal dan perhitungan nisbah protin kepada kreatinin atau albumin kepada kreatinin. Para doktor telah menyarankan agar ujian ini mesti dilakukan untuk mengesan penyakit buah pinggang kepada mereka yang berisiko tinggi, terutamanya yang mengidap penyakit diabetis. Jika ujian pertama menunjukkan kandungan protin di dalam urin tinggi, maka ujian susulan perlu dilakukan selepas seminggu atau dua minggu kemudiannya. Persistent protein adalah satu istilah yang menunjukkan bahawa ujian yang kedua ini juga masih mengeluarkan kandungan protin yang tinggi di dalam urin. Sekiranya ini berlaku, ujian dan prosuder tambahan perlu dilakukan bagi menentukan fungsi buah pinggang.

Tahap Penapisan Glomerulus Berdasarkan Pengukuran Kreatinin

Tahap penapisan glomerulus atau GFR(Glomerulus Filtration Rate), ialah satu bentuk ujian pengiraan untuk mengukur sejauh mana kecekapan buah pinggang menapis bahan-bahan buangan dari darah. Perkiraan GFR memerlukan pengukuran kreatinin dalam sampel darah bersama-sama dengan berat badan, umur dan nilai-nilai yang telah ditetapkan untuk jantina dan juga bangsa.

Kreatinin adalah sejenis bahan sisa buangan yang terhasil dari pemecahan sel-sel otot sepanjang berlakunya aktiviti di dalam tubuh badan. Kebiasaannya buah pinggang yang normal akan mengeluarkan bahan buangan ini dari darah dan membuangnya bersama dengan urin. Walaubagaimanapun, apabila buah pinggang sudah tidak berfungsi dengan baik, kreatinin akan berkumpul di dalam darah. Ujian perkiraan GFR adalah lebih tepat bagi menentukan apakah seseorang itu mengalami gangguan pada buah pinggangnya.

Blood Urea Nitrogen(BUN)

Urea ialah satu sebatian yang mengandungi nitrogen, adalah sisa buangan yang dihasilkan setelah sel menggunakan kandungan protin. Kebiasaannya, buah pinggang yang sihat akan mengeluarkan urea dari darah dan memasukkannya ke dalam urin untuk dibuang dari tubuh badan. Jadi, kandungan urea akan berkumpul di dalam badan apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik.

Sebuah desiliter darah mengandungi 7-20 miligram urea. Jika ujian BUN menunjukkan lebih dari 20 mg/dl, maka ia menjadi tanda bahawa fungsi buah pinggang telah terganggu. Penghidratan dan juga kegagalan jantung boleh menyebabkan BUN menjadi tinggi.

Ujian Tambahan Untuk Penyakit Buah Pinggang

Ujian tambahan untuk penyakit buah pinggang mungkin diperlukan oleh doktor bagi membantu mengenalpasti apakah punca masalah sekiranya ujian urin dan darah menunjukkan penurunan pada fungsi buah pinggang.

Pengimejan buah pinggang : Doktor akan menggunakan ujian ini untuk mengambil gambar dari buah pinggang. Ianya termasuk ultrasound, magnetic resonance imaging (MRI), dan juga computed tomography (CT) scan. Ujian-ujian pengimejan ini sangat membantu untuk menemukan sebarang pertumbuhan yang luar biasa atau berlakunya penyumbatan pada aliran urin.

Biopsi buah pinggang : Biopsi buah pinggang merupakan satu prosuder di mana sample buah pinggang diperlukan untuk dianalisa di bawah mikroskop. Doktor mendapatkan sampel buah pinggang tersebut dengan cara memasukkan sejenis jarum khas melalui kulit pesakit di belakang buah pinggang. Ujian biopsi ini akan dapat membantu doktor untuk mengenalpasti sebarang masalah pada tahap sel.

468 ad

Leave a Reply